Friday, November 26, 2010

Sahabat Sejati

“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

'Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..'

ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya.’

DALAM Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personality individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;

Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;

Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;

Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;

Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;

Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;

Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;

Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;

Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;

Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;

Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;

Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat

Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.

sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.

sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.

sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-NYA.

Tuesday, November 23, 2010

Zikir terapi ajaib ubat kegersangan hati, roh insan

ZIKIR mempunyai kedudukan sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, reda dan yakin kepada-Nya.

Mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti ketenangan jiwa. Firman Allah yang bermaksud: (Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)

Dalam kehidupan, kita sering berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa. Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat terapi ajaib yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia.
Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman.

Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzaab, ayat 35)

Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir ialah disebabkan dosa yang dilakukan.

Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir. Faktor lain, seseorang itu dibelenggu sifat maz mumah seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.
Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.

Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan: Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.

Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup, tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.

Ibnu Masud ada mengatakan, sesungguhnya aku bertasbih beberapa kali itu lebih aku sukai daripada aku menderma beberapa dinar dalam jumlah yang sama di jalan Allah. Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.

Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri: Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini? Lantas kata Hasan: Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.

Kedudukan tinggi amalan berzikir turut digambarkan dalam kisah seorang bertanya kepada Salman al-Farisi: Amal apakah yang paling utama? Kemudian dijawab Salman: Tidakkah engkau pernah membaca ayat, Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya) daripada ibadah yang lain. (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Abdullah bin Masud pernah berkata: Sesungguhnya sebuah gunung menyeru gunung yang lainnya dengan namanya dan bertanya, apakah hari ini ada orang yang lalui di atasmu dan menyebut Allah (berzikir)? Maka apabila gunung itu menjawab, ya, maka ia akan gembira.

Demikian juga riwayat yang mengatakan Abdullah bin Abbas pernah berkata: Tidak ada sebuah lembah yang di atasnya disebut nama Allah kecuali ia akan merasa bangga atas lembah yang berada di sekelilingnya, ia merasa gembira dengan zikir yang diucapkan itu. Kegembiraan itu juga turut dirasai oleh tujuh lapis di bawah lembah itu.

Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup.

Sunday, November 21, 2010

Petua untuk Hati

Istimewa untuk hati yang sedang bersedih, jiwa yang sedang berduka, minda yang sedang berkecamuk, inilah petua terbaik buat mengubat resah dan gundah:

Amalkan tasbih, tahmid dan takbir - Inilah petua yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya Siti Fatimah.

Berdoa - Mohonlah kepadaNya. Ingatlah, doa itu senjata bagi orang mukmin.

Sibukan diri dengan sesuatu - Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti perbanyakan membaca al-Quran & pelbagai bahan bacaan, terlibat dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya.

Luahkan perasaan anda - Bermacam cara boleh digunakan untuk meluahkan perasaan. Carilah seseorang yang paling anda percaya (sebaiknya yang ada pertalian darah atau orang yang arif dalam agama), menulis diari atau catatan harian, menulis blog dan sebagainya.

Senyum - Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati.

Just because the past is painful, Doesn't mean the future will be. So never let events from the past,Change the events for future, or You will be miserable forever…

Wednesday, November 17, 2010

tabah + sabar + redha = hikmah

Setiap kali sesuatu yang kurang baik terjadi kepada kita, pastinya ia adalah satu hikmah. Dari pengalaman saya, sekiranya ada orang mengambil kesempatan keatas diri kita, saya yakin yang tak lama lagi Allah akan memberi ganjaran yang amat lumayan kepada kita sekiranya kita redha kejadian itu. Dan sememangnya itu yang terjadi- berkali-kalinya pada saya!

So, sekiranya ada orang take advantage of you, put your chin up and smile. Sabar dan redha atas kejadian itu kerana tak lama lagi, anda akan mendapat pulangan yang berkali-kali ganda! Yezzaa!

Walaupun bertalu-talu negative things happened to me, saya masih boleh senyum… happy… dan tak pun effected dengan perkara-perkara negatif tersebut. Bila kita positif, kita akan menarik perkara-perkara positif kepada kita… ni yang mat salleh sebut “Law of Attraction”.

Tetapi, dalam Al Quran dah lama sebut mengenai ini untuk kita bersabar & redha, pasti akan dapat hikmahnya!

dugaan demi dugaan datang menimpa saya.. hanya Allah yang tahu bagaimana rasa hati saya ketika ini.. mungkin betul kata orang yang kerana duit manusia lupa persaudaraan mahupun persahabatan.. saya mengakuinya.. sekarang ini saya cuma berharap agar saya dapat menghalalkan setiap apa yang "mereka" telah ambik hak saya.. mungkin duit itu hak saya tetapi Allah dah tetapkan semua duit itu tidak akan kembali kepada saya.. saya harus redha..

Allah swt works in mysterious ways. Satu hari, kita akan diuji dengan pelbagai ujian yang AMAT berat, satu hari lagi boleh memberi ganjaran yang berlipat kali ganda. Janji, kita kena sentiasa sabar & redha… pasti hikmahnya akan diberikan! For sure… guaranteed!

p/s : So, pesanan terakhir saya, tak kira apa sahaja yang terjadi kepada kita, bersabar sepenuh hati… dan redha sepenuh hati (bukan berlakon sabar & berlakon redha)… you must really feel it in your heart! Pastinya pulangan yang lebih lumayan akan diberikan-Nya!

Now that’s the real meaning of “Law of Attraction”. Eat your heart out “The Secret”!

Penulisanku yg Dulu

Andai Kau Tahu

Kehidupan adalah anugerah Illahi. Anugerah kehidupan memberi gambaran kebesaran-Nya buat kita manusia, yang wajib kita syukuri dan hargai. Hari ini aku bahagia bersama keluargaku selepas kenangan silam yang banyak mengajarku menjadi lebih dewasa. Aku masih teringat pada hari itu. Hari itu merupakan hari yang telah mengubah segalanya kehidupan aku.

Taufik!

Masihkah kau ingat pada tarikh 22 Disember 2006. Detik pertemuan kita yang tidak pernah terlintas difikiranku untuk bertemu denganmu dalam keadaan begitu. Namun pertemuan itu merupakan pertemuan yang paling bermakna dalam hidupku kerana dipertemukan dengan hamba Allah seperti kau.

Pada petang itu, setelah aku selesai mengajar kanak-kanak mengaji di masjid; rutin harianku selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aku panik apabila ternampak kau seperti seakan-akan hendak membunuh diri di tengah-tengah jalan raya. Aku lihat penampilan dirimu juga tidak terurus seperti orang yang dilanda masalah besar. Kau berada di tengah-tengah jalan raya pada ketika itu jalan amat sesak dengan kenderaan. Waktu petang begini memang jalan raya sesak kerana masa pekerja pejabat pulang ke rumah. Aku fikir kau akan berganjak dari tengah-tengah jalan itu setelah bunyi hon daripada kenderaan berkali-kali.

Tanpa berfikir panjang dan dengan beraninya aku terus ke tengah-tengah jalan raya itu dan menarik kau ke tepi jalan. Setelah selamatkan kau, aku menampar pipi kau sebanyak dua kali.

Masihkah kau ingat detik itu?
Tahukah kau kenapa aku bertindak sedemikian rupa?

Pertama, aku marah dengan tindakan kau yang hendak membunuh diri. Tahukah kau bahawa membunuh diri merupakan salah satu dosa besar dan dimurkai Allah. Kau tidak mungkin akan masuk ke syurga apabila melakukan perbuatan ini. Tidak takutkah kau dengan azab Allah kelak? Aku hendak menyedarkan kau saja. Aku masih ingat, ketika itu muka aku merah padam memarahi kau.

Kedua, aku menampar kau adalah gara-gara nak selamatkan kau, aku terpaksa memegang tangan kau yang bukan muhrimku. Kau tahu sepanjang hidupku, aku tidak pernah memegang mana-mana tangan lelaki selain daripada ayahku. Kaulah orang pertama yang aku pegang walaupun niatku sekadar menyelamatkanmu.

”Ya Allah! Ampunkan dosa hamba-Mu ini.”

Hatiku membara ketika itu tetapi aku tengok kau tetap begitu, wajah kau macam kau tak kisah dengan apa lagi yang berlaku disekeliling kau. Mungkin kau tidak sedarpun kau sedang berbicara dengan aku sekarang ini. Hati aku bungkam, lalu aku tinggalkan kau sendirian dekat situ. Pelik kenapa aku masih terfikirkan kau walaupun aku sudah tinggalkan kau sendirian di situ. Sesuatu perasaan yang aneh aku rasai. Mungkin aku risau kau akan buat sesuatu yang bukan-bukan selepas itu. Aku juga benci kau pada ketika itu kerana memilih membunuh diri untuk selesaikan masalah. Bodohnya kau ketika itu.

Kau tahu sebelum ini aku tidak pernah ceritakan kepada kau bahawa selepas pertemuan pertama kali kita, aku selalu bermimpikan kau setiap kali aku tidur.

Tahukah kau aku terseksa dengan perasaan aku ini?
Mengapa aku selalu bermimpikan kau?
Kenapa?

Setiap hari selepas mengajar kanak-kanak mengaji aku akan melihat jalan raya depan masjid ini. Aku rindukan kau. Aneh perasaan ini. Aku bagaikan teringin berjumpa dengan kau sekali lagi. Dalam setiap doaku, aku berdoa agar aku dapat dipertemukan dengan kau lagi. Aku tidak tahu mengapa aku berdoa sedemikian rupa. Yang pastinya itulah kehendak hatiku.

Dua minggu kemudian, aku terjumpa kau dekat tepi jalan raya yang berhadapan dengan masjid tempat aku mengajar ini. Aku ingat kau hendak membunuh diri lagi. Aku cepat-cepat pergi ke arah kau. Kau tahu tak betapa terkejutnya aku melihat penampilan kau yang jauh berbeza berbanding dua minggu lepas. Kau kelihatan kemas sekali. Aku gembira melihat penampilan kau dan aku juga gembira kerana dapat bertemu dengan kau lagi. Hanya Allah sahaja tahu betapa gembiranya hatiku ini. Tiba-tiba kau bersuara. Itulah pertama kali aku mendengar suara kau. Kau ucap terima kasih padaku kerana menyedarkan kau dengan perbuatannya dahulu. Aku cuma mengangguk dan senyum kepada kau sebagai tanda aku sudah melupakannya. Kemudian kau cakap kau ada perkara penting nak beritahu aku.

Aku ajak kau pergi ke masjid yang menjadi tempat aku mengajar kanak-kanak mengaji Al-Quran. Kita duduk berdua dekat situ. Hati aku mula terasa berdebar-debar waktu itu. Kau memang tampan, itu aku tidak dapat nafikan. Sungguh indah ciptaan Allah.

Saat mata hazel kau tenung mata aku, aku terasa wajahku membahang menahan malu. Di situ kau luahkan semuanya pada aku kecuali apa yang mendorong kau untuk membunuh diri dulu. Hatiku tertanya-tanya juga kenapa kau ingin membunuh diri. Hatiku kuat mengatakan kau dikecewakan oleh perempuan.

Astaghfirullah hal azim!!! Berdosa aku menuduh kau begitu. Maafkan aku.

Kau cakap kau jahil sebab tak tahu apa-apa pasal Islam walaupun kau seorang muslim. Aku beristhigfar dalam hati. Sungguh rugi seseorang yang dilahirkan sebagai Islam tidak pernah menghayati Islam sebaiknya. Aku masih setia mendengar cerita kau walaupun hatiku terasa pilu dengan setiap pengakuan kau.

Kau cakap sejak berumur 15 tahun lagi kau sudah mula bersosial. Kau sudah kenal arak, suka berjudi dan macam-macam lagi. Entah mengapa ringan sahaja mulutku bertanya kepada kau tentang solat, puasa, zakat, dan haji. Aku tidak mengerti kenapa hatiku tergerak untuk bertanyakan semua ini. Meskipun aku sudah tahu jawapannya. Kau mesti ingat aku memandang rendah kepada kau. Maafkan aku. Aku terkejut dan hampir pengsan bila kau beritahu bahawa sepanjang kau hidup 25 tahun kau tidak pernah solat dan berpuasa. Bila aku tanya kau kenapa, kau cakap kau terlalu lama menetap di London. Bahkan ahli keluarga kau sendiri tidak pernah langsung solat apatah lagi nak puasa. Aku tahu kau malu padaku apabila menceritakan kisah kau kepada aku. Aku dapat baca daripada riak muka kau.

Ya Allah! Masih adakah lagi umat-Mu yang mengingkari perintah-Mu.

Taufik bagiku kau tidak bersalah kerana ibu bapa kau sendiri tidak pernah kenalkan Islam itu apa kepada kau. Sungguh jahil keluargamu. Kesian kau mendapat keluarga yang begitu. Kau masih sempat bertaubat Taufik. Bagiku apabila kau sanggup bercerita semua kisah kau kepadaku, Allah telah pun membuka pintu hati kau untuk bertaubat. Kau telah mendapat hidayah-Nya, Taufik. Segeralah kau belajar mengenai Islam.

Mengalir air mataku apabila kau meminta tolong daripadaku untuk mengajar kau tentang agama. Kau seolah-olah mendengar suara hatiku. Tapi aku agak keberatan sebab aku bukanlah mahir sangat. Setakat budak lepasan SPM sahaja. Aku masih muda untuk menolong kau. Kau tetap berkeras hendak aku mengajar kau. Akhirnya, atas dasar persaudaraan se-Islam, aku setuju.

Aku kenakan syarat kepada kau jika kau hendak bergurukan aku. Hatiku terasa lucu dan begitu gembira apabila melihat reaksi kau yang mengiyakan sahaja kata-kataku. Sungguh jelas diraut wajahmu yang hendak mengenali Islam. Aku terharu dengan sikap kau, Taufik. Aku cuma kenakan syarat, kau perlu berbaju Melayu semasa hendak menghadiri kelasku.

Mulai hari itu, kau selalu datang kelas mengaji yang aku adakan dengan berbaju Melayu. Kau sungguh tampan Taufik. Sayang jika kau tidak bertaubat dan alhamdulillah kau diberikan hidayah-Nya. Mula-mula aku terasa hendak tergelak sebab kaulah anak murid aku yang paling tua. Aku kenalkan huruf jawi dahulu kepada kau. Kesian kau, walaupun umur sudah mencecah 25 tahun tetapi kau masih tidak kenal huruf-huruf jawi.

Kau cepat dalam belajar huruf-huruf jawi ini. Mungkin kau betul-betul minat dan minat itulah yang mendorong kau untuk berusaha mengenal huruf-huruf jawi dalam sehari sahaja. Selepas itu, kau baru baca Iqra’ dengan aku. Kau sabar dalam belajar ini. Sungguh kau terang hati kerana tidak sampai empat bulan kau sudah boleh membaca Al-Quran. Apabila kau sudah boleh membaca Al-Quran, aku mula mengajar kau tentang solat, haji, zakat, dan puasa. Aku mengajar kau macam-macam tentang agama.


Hati kau memang cerah, sekejap sahaja aku mengajar kau tentang solat, kau sudah boleh solat sendiri. Kita pun selalu solat bersama-sama. Kau akan menjadi imam kepadaku. Sungguh tidak kusangka bahawa Taufik yang kini sudah jauh berbeza dengan Taufik yang pertama kali aku jumpa dulu.

Keputusan SPM aku telah keluar. Alhamdulillah aku telah mendapat keputusan yang cemerlang dan membolehkan aku melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sudah lama aku cita-citakan untuk belajar di Mesir dalam bidang perubatan. Aku pendamkan dahulu impianku dahulu kerana aku bukan daripada keluarga yang senang. Aku tidak mahu menyusahkan ayahku. Aku terpaksa melupakan saja impianku ini. Ayahku lebih penting. Aku menangis menguburkan impianku ini. Aku akan jalani rutin hidupku seperti biasa.

Petang itu, aku membacakan azab-azab yang akan diterima oleh penghuni-penghuni neraka di dalam kelas mengajarku di masjid. Aku lihat air mata kau bergelinang. Taufik, kau terasa hati dengan aku ke? Sejak hari itu, kau sudah tidak datang-datang ke masjid untuk menghadiri kelasku.

Kau tahu, seminggu kau tidak datang, seminggu itu jugalah aku menjadi penunggu setia dekat masjid itu. Aku juga rindu kepada kau. Tidak tahu kenapa ada perasaan ini. Aku juga risau mungkin ada sesuatu yang terjadi kepada kau. Kemudian, pada satu petang kau datang pada aku. Saat aku melihat kau, ada satu perasaan hadir dalam diriku. Tapi aku tidak tahu apa perasaan itu. Kau datang pada petang itu bukan sebab hendak belajar agama dengan aku seperti biasa tetapi kau telah melamar aku untuk berkahwin dengan kau.

Apa, kahwin!
Aku terus pitam di depan masjid itu.

Setelah aku sedar, aku terdengar suara kau. Aku juga terdengar suara ayahku. Aku bukakan mataku untuk melihat sekelilingku. Aku lihat ayahku ada disebelahku. Aku bingung. Bagaimana ayahku ada bersamaku. Aku lihat Taufik yang begitu tenang wajahnya. Kau datang padaku setelah nampak aku sudah sedarkan diri. Aku masih ingat lagi kata-kata kau pada ketika itu,


”Amira, sudi tak awak menjadi permaisuri di hati Taufik. Sudi tak kahwin dengan Taufik? Pakcik saya hendak melamar anak pakcik sebagai isteri saya.”

”Anak tanyalah pada Amira dulu. Dia tuan punya badan. Pakcik suka kalau Amira dapat suami macam kamu.”

“Ha, kahwin… Mana boleh.. ehhh Mira tak nak Taufik. Mira masih muda Taufik. Jangan buat gila.”

“Please, Mira I beg you. Kalau awak jadi isteri saya, lagi banyak masa awak boleh ajar saya pasal Islam. Tolonglah Mira, masa saya semakin suntuk”

Aku tergamam dengan tindakan kau. Sungguh aku tidak sangka kau berani berkata begitu depan ayahku. Kulihat wajah ayah ketika itu. Ayah tersenyum dan mengangguk. Kau tahu aku resah melihatkan kau yang begitu mengharap, dan akhirnya aku bersetuju. Tapi aku betul-betul tidak faham dengan ayat ‘masa saya semakin suntuk’ yang kau katakan tadi. Aku juga lihat wajah ayahku tersenyum apabila mendengar kata persetujuan daripadaku.

Tarikh perkahwinan kita telah ditetapkan. Aku pelik kenapa kau tidak kenalkan aku pada keluarga kau. Aku cuma mengagak kau malu membawa aku berjumpa dengan keluarga kau. Taufik, ketahuilah aku sanggup terima ahli keluarga kau walau sejahil mana pun keluarga kau. Perkahwinan kita berlangsung juga pada tarikh yang ditetapkan.

Masihkah kau ingat tarikh perkahwinan kita. ”30 Mei 2007”. Kita baru kenal dan terus kahwin. Pelikkan?

Perkenalan yang begitu singkat. Tapi aku tidak kisah semua itu. Aku percaya pada jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah. Pada hari sepatutnya kita bergembira, terjadi sesuatu kejadian yang aku tidak pernah duga. Mak dan ayah kau datang dan serang aku.

“Hei! Perempuan gatal!!”

Aku masih teringat kata-kata pedas mak dan ayah kau. Ayahku pula cuba menenangkan mak dan ayah kau. Yang peliknya, kau cuma berdiam diri sahaja. Kau langsung tidak berkata apa-apa pada mak dan ayah kau.
Kenapa Taufik?
Kau tidak berterus terang kepada keluarga kau bahawa kau hendak mengahwini aku. Seluruh penduduk kampung telah tahu kejadian itu.Aku malu Taufik. Aku malu!

Aku tidak pernah tahu kau daripada keluarga yang berada. Kau anak Tan Sri rupanya. Aku cuma anak penduduk kampung saja. Memang patut mak dan ayah kau menentang hebat perkahwinan kita. Kita bagaikan enggang dengan pipit.

“Aku pipit, kau enggang.”
“Mana boleh terbang bersama.”

Walau bagaimanapun, kau telah sah menjadi suamiku. Aku akan taat kepada kau sampai ke akhir hayatku walaupun ditentang oleh keluarga kau. Tapi kau mesti bersamaku, itulah kekuatan aku. Itu janjiku Taufik.

Aku masih ingat lagi, seminggu selepas kita kahwin, kau telah membawa aku berjumpa keluarga kau di Kuala Lumpur. Sebelum ke sana aku meminta izin untuk bersolat hajat memohon kekuatan berjumpa dengan keluarga kau. Aku doakan agar keluarga kau dapat terima aku seadanya. Kejadian pada hari perkahwinan kita biarlah menjadi memori dalam hidupku. Bagiku semua manusia melakukan kesilapan.

Teruk aku dihina dan dicerca ketika berjumpa keluarga kau. Mak dan ayah kau lah yang paling bencikan aku. Kata mereka aku cuma hendak mengikis harta benda yang kau miliki. Luluh hatiku, Taufik. Mak dan ayah kau cakap aku macam-macam. Aku ditampar mak kau gara-gara aku cakap kau yang hendak berkahwin denganku. Aku cakap kau yang beria-ia ajak aku kahwin. Aku cakap macam itu sebab mak kau tuduh aku perempuan pisau cukur yang hendak kikis semua harta kau. Sumpah aku tidak tahu kau adalah seorang anak hartawan. Aku rasa hina sangat masa itu. Tapi yang peliknya, kau langsung tidak membuka mulut untuk pertahankan aku. Kau hanya diam dan memerhatikan aku diserang keluarga kau.

Sampai hati kau!!


Setelah dua hari aku berada di rumah keluarga kau, kau ajak aku berpindah. Kita berpindah ke kondominium milik kau. Dekat sahaja dengan rumah mak dan ayah kau. Aku menangis rindukan ayahku yang tinggal seorang diri di Terengganu. Sejak ibu aku meninggal sewaktu melahirkanku, aku tidak pernah sekali berpisah dengan ayahku. Tapi kau pandai. Setiap hari kau akan bagi teddy bear yang berlainan pada aku. Aku memang suka teddy bear. Bila aku peluk bear-bear yang diberikan kau barulah terubat sikit rinduku dekat ayah sebab badan ayah pun macam bear-bear ini semua. Jadi peluk bear ini macam peluk ayah aku juga. Malu aku bila kau melayan aku seperti budak kecil. Dua minggu usia aku di rumah kau, sudah 14 teddy bear aku terima daripada kau. Aku gembira sangat. Terima kasih Taufik!!


Taufik!

Perkara yang membuatkan aku terfikir selalu, mengapa sepanjang perkahwinan kita, kau tidak pernah sekali pun menyentuh aku. Hati kecilku sering tertanya-tanya kenapa kau mengahwini aku kalau kau tak nak memiliki aku sepenuhnya.

Adakah kerana aku tidak sepadan dengan kau?
Aku sedih memikirkan hal ini. Kenapa kau buat aku begini, Taufik?
Kasihanilah aku.

Fitrah seorang isteri memang perlukan belaian daripada seorang suami. Mengertilah wahai suamiku.

Aku umpama cikgu pada kau. Aku panggil kau abang, kau panggil aku Ustazah Amira. Pelikkan. Kitalah pasangan paling pelik sekali pada aku. Malam, kita hiasi dengan aktiviti tadarus, setiap jam tiga pagi kau akan kejutkan aku untuk solat tahajjud. Aku begitu bahagia dengan perubahan diri kau. Kita sama-sama penuhi tanggungjawab masing-masing.

Setiap hujung minggu, kita akan keluar bersiar-siar. Hari itu, sewaktu kita ke Sunway Pyramid, ada seorang perempuan memanggil kau. Bila kau berpaling, perempuan itu terus memeluk dan mencium pipi kau. Aku nampak kau macam kaget. Tapi kau masih tidak kenalkan dia kepadaku. Perempuan itu ikut saja ke mana sahaja kita pergi. Aku terasa terhina. Aku tahulah aku perempuan kampung. Tidak pandai bergaya pula. Pakaian aku cuma jubah dan tudung labuh paras pinggang yang sering membaluti tubuh aku ini walau ke mana sahaja aku keluar dari rumah.

Mana ada lelaki yang akan tertarik dengan penampilan diriku ini. Perempuan di sebelah kau pula dengan selambanya paut tangan kau sedangkan aku, isteri kau yang sah tidak pernah sentuh kau. Mana pergi ilmu agama kau, Taufik?

Tanpa aku sedari, airmata aku menitis. Aku sedih kau buat aku begini. Takkan kau tidak pernah fikirkan perasaan aku. Aku lari keluar dari butik itu sewaktu kau dan perempuan itu leka berbual. Aku berlari dengan linangan air mata kau tahu tak?

Aku dengar kau jerit nama aku. Aku pusing belakang, nampak kau dan perempuan itu.

Ah perempuan itu lagi!

Dia tak faham ke yang aku bencikan dia sebab rapat dengan kau, suamiku. Kau jerit memanggil namaku lagi dan akhirnya aku berhenti berlari. Kau pegang tangan aku. Kau tanya aku kenapa.

“Mira kenapa ni?”
“Tak ada apa-apa la. Pergi la shopping dengan perempuan ni”
“Amira jealous ya.. Maafkan abang sebab lupa nak kenalkan Iman Sofia pada Mira. She’s my twin, satu-satunya adik kembar abang yang paling rapat dengan abang”

Ya Allah!
Kembar kau rupanya.
Mengapa kau tidak terangkan awal-awal kepadaku?

Aku malu pada sangat masa itu. Kemudian Sofia memeluk aku dan mengalu-alukan kedatangan aku sebagai iparnya. Dia suruh aku sabar dengan karenah mak dan ayah kau. Aku menangis di dalam pelukan iparku, Sofia. Aku terharu kerana masih ada ahli keluarga kau sanggup menerima aku sebagai ahli keluarga kau.

Aku masih ingat kata-kata ayahku dulu. ”Barang siapa yang menghormati orang lain, tentulah ia akan dihormati kerananya. Begitu juga barang siapa yang menghina orang lain, tentulah ia akan tersisih kerananya.”

Selepas berkenalan dengan kembar kau, dia meminta diri untuk pulang kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Aku gembira dapat bertemu dengannya. Sofia pandai menghormati orang. Kemudian, Sofia pun berlalu tinggalkan kita berdua. Aku malu sangat dengan kau. Apabila aku menoleh mukaku kepada kau, aku terlihat kau tersenyum-senyum. Mesti muka aku merah atau mungkin sudah biru masa itu. Kau cubit pipi aku dengan lembut dan mengusik aku sampai aku mengalirkan air mata.

Maaf, aku tidak berniat untuk menangis kerana sedih. Aku malu!!! Kau mengesat air mataku dengan jari kau sambil meminta maaf kepadaku. Kemudian, kau kucup dahiku. Aku tersentak, inilah pertama kali kau menyentuh aku. Saat itu merupakan saat paling bahagia buatku. Aku tersenyum kepada kau saat mata kita bertentangan. Kau memegang tangan aku, kemudian kita berjalan bersama-sama dengan seiringan.

Hari demi hari berlalu menjadikan kehidupan kita semakin bahagia. Aku merasakan ada perasaan yang aneh sedang hinggap di sarang hatiku setiap kali aku bersama kau. Walaupun hubungan kita semakin mesra, tetapi kita tetap macam dulu. Tidur berasingan bilik. Aku pelik. Kenapa harus begini? Kau mempunyai masalah atau aku yang bermasalah? Jawablah Taufik!!! Jangan kau seksa batinku.

Pada suatu malam, selepas kita sama-sama solat Isya’ berjemaah, kau memegang tanganku ketika aku menyalami tangan kau. Aku tunduk mencium tanganmu sebagai tanda hormatku sebagai seorang isteri. Kemudian, kau mengucup dahiku. Hatiku berdebar ketika itu. Sebelum ini kau tidak pernah melakukan sedemikian rupa kepadaku. Aku duduk berhadapan dengan kau pada ketika itu. Hatiku bergetar saat mata kau menenung mataku. Mata hazel kau seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu kepadaku. Aku tidak mengerti mesej yang ingin kau sampaikan saat itu. Tapi, kau hanya berdiam diri sahaja.

Selepas itu, aku terus bangun dari sejadahku dan beredar terus ke bilik aku. Tiba-tiba semasa aku melipat kain telekungku, kau mengetuk pintu bilikku. Apabila aku membuka pintu bilikku, kau memberiku salam dan terus masuk. Pintu bilik aku kau tutup. Kau terus memeluk aku dengan eratnya. Aku juga membalas pelukan kau dengan penuh kasih sayang. Memang saat ini yang aku nanti-nantikan. Walaupun ketika itu hati aku berdebar-debar, tapi aku bahagia. Saat kau hampir mengucup bibirku, hanya tinggal seinci lagi, kau seolah-olah tersedar dari sesuatu. Kau lepaskan pelukan kau yang erat tadi pada badan aku. Aku tergamam dengan tindakan kau. Sebelum kau pergi, kau meminta maaf kepada aku. Selepas kau keluar dari bilikku, aku terus menangis. Aku sedih!!! Kau seolah-olah tidak sudi menyentuh aku walaupun seinci. Hina sangatkah aku!!!

”Kadang kala kamu tidak menghargai orang yang mencintai kamu sepenuh hati, sehinggalah kamu kehilangannya. Pada saat itu, tiada guna sesalan kerana perginya tanpa berpatah lagi.” Aku harap kau tidak akan sia-siakan aku.

Keesokan harinya, aku masih menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang isteri. Aku masih sediakan kau sarapan. Aku lihat kau seperti tiada apa-apa pun berlaku semalam. Selepas menuang air kepada kau, aku menitiskan air mata entah kali keberapa pun aku tidak tahu. Aku terus berlari masuk ke bilik dan menutup pintu. Aku tidak kuat untuk berhadapan dengan kau. Aku cukup rasa terhina dengan penolakan kau semalam.

Aku dengar kau memanggil namaku dari luar bilikku. Kau mengetuk-ngetuk pintu bilik agar aku membukanya. Aku sedih Taufik. Biarkan aku sendirian. Aku meminta kau pergi bekerja dahulu dan meminta maaf kerana tidak melayan kau hari ini.

”Ya Allah!!! Hamba-Mu ini perlukan kekuatan, bantulah hamba-Mu ini.”

Selepas kau pulang bekerja, aku terus menyalami tangan kau. Aku berdosa kerana membuat kau rasa bersalah. Aku menangis teresak-esak kerana menyesali perbuatanku itu. Kau terus memeluk aku dan meminta maaf atas kejadian semalam. Kau kata kau ada alasan sendiri membuat aku begitu. Suatu hari nanti aku akan tahu kenapa. Hubungan kita kembali mesra seperti selalu, walaupun hatiku tertanya-tanya kenapa kau tidak pernah menyentuhku walau sekalipun.

Malam itu, setelah kita solat Isya’ bersama, aku terus memegang tanganmu. Walau apa jua alasan yang kau berikan kepadaku, perasaan cintaku tidak akan sedikit pun luntur kepada kau. Jika masa silam kau yang membuatkan kau tidak mahu menyentuhku, mengertilah aku tidak pernah mengungkit kisah silam kau. Apa yang aku kenal adalah kau yang sekarang iaitu Mohamad Taufik bin Tan Sri Zainal Abidin. Seorang yang berpegang pada ajaran agamanya. Aku sangat sayangkan kau.

Malam itu merupakan malam pertama buat kita. Aku sangat bahagia pada saat itu. Terima kasih Taufik. Kita memainkan melodi cinta paling indah dalam sejarah percintaan umat manusia, dengan mengharap pahala jihad fi sabilillah, dan mengharap lahirnya generasi pilihan yang bertasbih dan mengagungkan asma Allah Azza wa Jalla di mana saja kelak mereka berada.

Suatu hari itu, ketika kita sedang menjemur pakaian bersama-sama, hidung kau tiba-tiba berdarah. Darah yang keluar dari hidung kau banyak sangat. Wajah kau pucat sangat. Hati aku dipagut rasa cemas yang teramat sangat. Selepas itu, kau pitam.

Aku bagai orang gila melihat keadaan kau ketika itu. Aku terus berlari ke rumah sebelah untuk mendapatkan bantuan. Aku menjerit-jerit memberi salam kepada jiran kita bagai orang dirasuk hantu. Jiran kita juga turut cemas apabila melihat keadaan aku. Dengan bantuan jiran, aku menghantar kau ke hospital. Di sana barulah aku mengerti segala-galanya kata-kata kau sebelum kita kahwin dahulu. ‘Masa saya dah semakin suntuk’. Aku sudah terlalu mengerti maksud kata-kata itu sekarang.

Kenapa kau merahsiakan perkara ini daripadaku?
Aku isteri kau dan aku patut tahu tentang tahap kesihatan kau.
Kenapa kau tidak beritahu aku yang kau sedang menghidapi sakit leukemia?

Aku menangis dan terus menangis. Dua hari kau tidak sedarkan diri. Aku berjanji akan menjaga kau sampai ke akhir hayatku. Tapi tolonglah jangan tinggalkan aku. Aku sangat sayangkan kau, Taufik. Tolong aku, kau mesti kuatkan semangat untuk teruskan hidup ini.

Mengertilah aku sekarang, kenapa kau tidak mahu menyentuh aku. Aku mengerti sebabnya. Kau tak nak memberi zuriat yang mungkin berpenyakit seperti kau kelak dan meninggalkan aku keseorangan menjaga zuriat itu nanti. Kerana kau tahu kau tidak akan hidup lama. Mulia sungguh hati kau. Tapi kau silap mengenai aku Taufik. Aku sanggup menjaga zuriat dari benih kau keseorangan andai kau tinggalkan aku suatu hari nanti. Air mataku mengalir lagi, Taufik.

Sewaktu kau sedar, aku masih setia menemani kau. Aku menangis sambil mengucup tangan kau. Kau juga turut menangis. Aku sedih melihat kau dalam keadaan begini. Aku mengesat air mata kau dan memberi kata-kata semangat kepada kau. Aku juga turut mengesat air mataku walaupun air mata ini tetap mahu mengalir. Maafkan aku kerana tidak tabah apabila berhadapan dengan kau.

Malam itu, kau telah beritahu aku kenapa kau hendak membunuh diri dan kenapa kau hendak berkahwin denganku. Semuanya kau terangkan.

Dulu, kau nekad hendak membunuh diri sebab kau tidak boleh terima kenyataan bahawa diri kau sakit. Kau mengahwini aku kerana kau hendak seseorang yang boleh membimbing kau ke jalan yang benar. Kau tak nak mati dalam keadaan jahil. Kau juga jujur dengan aku. Kau beritahu aku bahawa aku bukan cinta sejati kau kerana cinta sejati kau hanya pada Islam dan Allah. Aku akui dan agak terkilan kerana aku bukan cinta sejati kau, tapi biarlah, aku mengerti. Pada aku, bersuamikan kau sudah cukup bermakna.

Mungkin kau perasan aku terkilan dengan kata-kata kau sebentar tadi. Kau terus memegang erat tangan aku dan terus mengucup tanganku sambil berkata kau amat sayangkan aku dan perasaan cinta itu hadir sehari demi sehari ketika kita hidup bersama-sama. Kau ucapkan terima kasih kepadaku kerana sudi mencintai insan sepeti kau yang jahil. Saat itu, aku cuma menganggukkan kepala dengan linangan air mata dan terus memeluk kau.


Taufik!

Kau mesti ingat tarikh 11 November 2007 kan? Aku pasti kau takkan lupakan tarikh yang paling menyeksakan itu kan? Mana tidaknya, itulah tarikh keramat di mana kau telah menjalani kemoterapi buat kali pertama. Aku tahu kau buat semua ini sebab aku kan. Aku mogok makan dan tidak mahu bercakap dengan kau sampai dua hari sebab kau tak nak buat rawatan itu. Sebenarnya aku makan sedikit demi anak kita. Aku telah disahkan mengandung, Taufik. Sudah dua bulan. Aku jahatkan, Taufik. Tapi, aku buat semua itu sebab aku sayang kan kau. Aku cintakan kau, dan anak dalam kandungan ini juga perlukan kau. Kau mesti menjalani rawatan ini. Aku mahu kau bersemangat untuk teruskan hidup demi anak kita.

Air mataku menitis tatkala aku melihat kau yang sedang meraung kesakitan di bilik rawatan itu. Aku dapat dengar raungan kau walaupun aku hanya memerhatikan kau dari luar bilik kaca sahaja. Aku tengok katil kau bergegar. Mesti sakit sangatkan? Maafkan aku sebab memaksa kau buat semua ini. Aku tengok kau menangis-nangis.

”Allah tabahkanlah hati suamiku dalam menjalani rawatan ini.”

Habis cadar dan bantal-bantal kau jatuh ke lantai gara-gara kau menggeletar atas katil itu. Aku tengok kau muntah-muntah dan batuk-batuk tanpa henti. Kau meraung-raung jeritkan Allahuakhbar. Tatkala kau meraung di dalam, aku pula meraung di luar. Aku sedih melihat keadaan kau. Aku tidak sangka rawatan ini akan lebih menyakitkan kau. Maafkan aku.

Selepas beberapa kali kau menjalani rawatan, akhirnya kau berkeras untuk tidak membuat sebarang rawatan lagi. Cukuplah kata kau. Keadaan kau semakin teruk. Rambut kau sudah semakin sedikit, wajah kau mula mengcengkung, badan kau kurus sangat. Kau hanya mampu duduk di kerusi malas sahaja. Kerusi malas itulah kau bersolat.

Beberapa hari lagi kita akan berpuasa. Kau amat teruja waktu itu walaupun kau sedang menderita sakit. Aku kagum dengan kau sebab kau mahu berpuasa walaupun kau diberikan rukhsah untuk tidak berpuasa.

Apabila bulan Ramadhan, kau tetap berpuasa walaupun kadang-kadang kau menggigil sebab terlampau sakit tetapi kau tetap berkeras hendak berpuasa. Kau tekad hendak berpuasa penuh. Hari-hari masa kau dihabiskan di kerusi malas itu sambil menghafal surah-surah Al-Quran. Kau juga meminta aku membacakan surah Yassin pada setiap malam sebelum kau lelapkan mata. Setiap kali kau dengar bacaan surah Yaasin, air mata kau akan bergelinangan. Air mataku juga turut bergelinangan. Kau dah semakin nazak sekarang. Aku belum bersedia untuk kehilangan kau, Taufik.

Sepuluh malam terakhir Ramadhan, kau berdegil tidak mahu tidur sebab kau hendak menunggu malam Lailatul Qadar. Aku sering menyuruh kau tidur, kerana takut kesihatan kau terganggu. Badan kau juga sudah semakin lemah. Aku dapat melihat perubahan yang ketara pada badan kau. Kau cakap padaku bahawa kau tetap hendak menunggu malam Lailatul Qadar kerana kau takut kau tidak sempat untuk bertemu dengan Ramadhan yang berikutnya. Selalunya, aku akan tertidur di sisi kerusi malas kau. Apabila aku tersedar, kau juga sudah terlena. Wajah kau cukup tenang dan sentiasa tersenyum. Aku akui aku takut untuk membiarkan kau tidur kerana aku takut kau akan terus tertidur dan tidak bangun-bangun lagi.

Malam terakhir puasa, kau kelihatan bersinar-sinar. Kau mengajak aku membuat solat terawih bersama. Kau solat terawih ke solat sunat taubat. Kau sujud lama sangat. Aku sudah seperti mengerti sesuatu. Aku teruskan solat terawih ini sementara kau masih begitu, sujud menyembah tuhan. Selepas 12 rakaat selesai aku kerjakan, kau masih tetap begitu. Masih lagi bersujud. Aku terus pergi kepada kau.

Kau sudah pergi. Aku tahu kau letih sangat dan kau hendak tidur. Aku terus baringkan kau di atas sejadah itu. Darah yang mengalir dari hidung kau, aku telah bersihkan. Wajah kau begitu tenang seperti bayi yang sedang nyenyak tidur. Selepas itu, tanpa membuka kain sembahyang, aku terus berbaring di sebelah kau di atas sejadah itu dengan linangan air mata. Aku tertidur sampai azan hari raya Aidilfitri berkumandang. Hajat kau hendak beraya tidak kesampaian. Tapi hajat kau untuk berpuasa penuh dan solat terawih serta tahajjud sepanjang Ramadhan tetap terlaksana. Kau telah pergi tinggalkan aku dan anak kau pada pagi Syawal ini. Tidak tahu hendak berbuat apa, aku terus menelefon ayah untuk mendapatkan kekuatan. Ayah tolonglah anakmu ini.


Taufik...
Betapa pilunya hati.....
Menghadapi perpisahan ini...
Pahit manis kita bersama...
Semoga Allah meredhai perpisahan ini...

Taufik!

Tiga tahun telah berlalu pergi. Hari ini aku akan bertolak ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar dalam bidang Qiraat Al-Quran. Bukan bidang perubatan yang aku cita-citakan dahulu. Inilah impianku sebelum kita berkahwin. Belajar di Mesir. Alhamdulillah kini impianku telah menjadi kenyataan walaupun terlewat sedikit. Anak kita pun sudah berusia dua setengah tahun, Taufik.

Mohammad Danial Hakim bin Mohamad Taufik. Anak lelaki kita yang saling tidak tumpah dengan kau. Comel sangat anak kita, Taufik. Matanya hazel seperti kau.

Kau tahu, seminggu selepas kau pergi, mak dan ayah kau bersama Sofia datang dan berjumpa dengan aku. Mak dan ayah kau datang ke Terengganu semata-mata hendak berbaik-baik semula dengan aku. Aku cukup terharu pada ketika itu. Aku kehilangan kau tetapi Allah telah berikan aku sebuah keluarga kepada aku. Bersyukur aku pada ketika itu. Andai pemergian kau telah membawa kepada seribu hikmah, aku redha.

Mak dan ayah kau beritahuku yang kau ada mengutus surat kepada mereka dan menjelaskan segala-galanya sebulan sebelum kau pergi tinggalkan aku. Mak dan ayah kau memeluk aku dan berkali-kali perkataan maaf keluar dari mulut mereka. Selepas itu, kami berdamai. Mesti kau bahagia di sana, kan? Perbelanjaan aku ke Al-Azhar pun ditanggung oleh keluarga kau. Anak kita akan ku bawa ke sana sekali. Mak kau telah mengupah orang untuk mengikuti aku ke sana dan mengasuh anak kita ketika aku pergi belajar. Alhamdulillah.

Kau tahu, dahulu setiap hari aku akan ke pusara kau dan menangis di situ. Aku meraung-raung teringatkan kau. Aku rindukan kau. Aku tidak dapat terima kenyataan bahawa kau telah pergi tinggalkan aku. Senyuman dan panahan mata kau sentiasa membuatkan aku terbayang-bayang. Pada suatu hari, sewaktu aku sedang menangis di pusara kau, ayahku datang lalu dia menampar aku. Aku kaget dan tangisan aku terus berhenti tatkala itu. Ayah telah menyedarkan aku semula. Ayah cakap aku telah menyeksa kau di sana dengan meratapi pemergian kau dan aku juga telah lupa menunaikan tanggungjawab aku sebagai seorang muslim. Ya Allah, berdosanya aku ketika itu.

”Ampunkan aku ya Allah!”

Aku juga lupa yang aku juga sedang membawa satu nyawa lagi dalam rahimku. Amanah daripada kau. Aku akan jaga dan pelihara anak kita dengan sebaik-baiknya. Aku seolah-olah tersedar semula dari mimpi yang panjang. Taufik, maafkan aku sebab perlakuan aku telah menyeksa kau di sana. Aku akan lepaskan kau. Aku pasrah. Kemudian, aku mengikut ayahku pulang ke Terengganu. Bahagialah kau di sana. Aku sentiasa mendoakan kau, Taufik.

Kini aku sudah tidak menangisi pemergian kau lagi. Aku redha dengan apa yang terjadi. Sesungguhnya, Allah tidak akan menguji hamba-Nya jika Dia tahu hamba-Nya tidak mampu menerima ujian tersebut. Ujian-Nya hanyalah untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya. Aku sudah bangun menjadi Nurul Amira yang dahulu. Amira yang tabah dan kuat kerana aku tahu walau aku menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun, keadaan tetap tidak berubah. Orang yang sudah ‘pergi’ tidak akan hidup semula.

Walau bagaimanapun, aku tidak keseorangan. Aku juga telah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga kau. Anak kita telah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara mak dan ayah kau denganku. Aku juga telah melihat perubahan pada setiap ahli keluarga kau. Mereka telah diberikan taufik dan hidayah. Kau mesti gembirakan? Alhamdulillah, tiada lagi istilah jahil untuk keluarga kau. Syukur ke hadrat Illahi.

Aku mengambil masa tidak sampai seminit untuk membenci kau, aku mengambil masa kurang sebulan untuk mencintai kau. Tapi harus aku akui, aku memerlukan masa sepanjang hidupku untuk melupakan kau. Kau sudah bertakhta di hatiku yang teratas sekali. Kata orang cinta yang dilepaskan akan kembali jika ia cinta sejati kita. Tapi harus aku akui kau memang bukan cinta sejati aku kerana cinta sejati dan hakiki aku hanya pada-Nya. Taufik, aku sudah hendak pergi dengan anak kita sekali. Kau doakan kehidupan kami anak beranak diperantauan nanti, ya. Doakan kejayaan aku. Assalamualaikum, Taufik. Tunggu aku dekat ‘sana’ nanti. Sesungguhnya, kau tiada gantinya dalam hatiku ini.